Thursday, May 7, 2009

Kerja rumah tugas siapa?

BUKU Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karya Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga yang diterbitkan pada 1981 menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.

Sekiranya isteri melakukan semua itu, mereka berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah dan penulisnya menerusi buku itu menjelaskan, kewajipan isteri hanya taat kepada suami bagi memuaskan kehendaknya dan tinggal dalam rumah serta tidak boleh keluar tanpa izin.
Maklumat ini yang tertera dalam halaman 184 hingga 185, pasti mengejutkan pembaca yang kurang arif berhubung perkara terbabit atau tidak pernah mendengarnya sebelum ini, selain perkara sedemikian akan dilihat sebagai di luar kebiasaan atau dayus jika dilihat daripada kaca mata budaya Melayu.


Ini kerana menjadi adat resam dan budaya dalam masyarakat Melayu sejak berzaman, isteri akan bertanggungjawab menguruskan segala kerja rumah manakala tugas berat dibantu suami yang tugas utamanya mencari nafkah demi kelangsungan seisi keluarga.

Bagaimanapun perubahan zaman, kini menyaksikan sesetengah suami dalam masyarakat Melayu sudah mula pandai berkongsi tanggungjawab melaksanakan kerja rumah tangga apatah lagi, isteri kini turut membantu memperkukuhkan ekonomi keluarga dengan sedia bekerja atau berniaga.

Malahan, pencapaian wanita yang lebih menggalakkan dalam pendidikan pada era kini memungkinkan mereka menjawat jawatan penting dan gaji lumayan, lalu masalah mendapatkan pembantu rumah bertanggungjawab dalam menguruskan anak dan rumah, memaksa sesetengah suami kelompok ini melepaskan jawatan dan menguruskan rumah tangga.

Pensyarah Psikologi Perkembangan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Asmah Bee Md Noor, berkata senario suami mula membantu isteri melakukan kerja rumah dan suami sepenuh masa dapat membantu ke arah pembentukan institusi kekeluargaan yang sihat.

“Senario ini bukan lagi kejanggalan bagi masyarakat Malaysia termasuk Melayu kerana situasi wanita berkahwin dengan lelaki berpendapatan lebih rendah menuntut perubahan sebegini. Tidak salah wanita memegang tanggungjawab mencari nafkah keluarga selagi mereka ikhlas untuk membantu,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, UKM, Bangi, baru-baru ini.

Baginya, budaya Melayu yang meletakkan tanggungjawab mengurus rumah tangga di bahu wanita hingga menyebabkan golongan Adam menganggap tugas mereka terhad kepada menyara keluarga dan tugas itu kekal, meskipun mereka menyumbang ke arah memantapkan ekonomi keluarga dengan bekerja.

Justeru, golongan suami dinasihatkan agar memahami keupayaan wanita dengan tidak membiarkan mereka tertekan kerana fizikal wanita terhad kepada sesetengah perkara saja berbanding lelaki serta perlu ringan tulang dalam pelaksanaan tugas rumah tangga.

“Ibu bapa wajar mendidik anak pada peringkat awal perkembangan mereka bahawa setiap tugas dalam rumah tangga tanggungjawab bersama dan boleh bertukar. Tanggapan bahawa wanita bertanggungjawab sepenuhnya dalam tugas rumah perlu diperbetulkan dengan mengadakan seminar kekeluargaan dan menyelitkannya dalam kursus perkahwinan,” jelasnya.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam (Api), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali, mengakui bahawa tanggungjawab mencari nafkah keluarga sewajarnya dipegang suami selaku ketua dalam rumah tangga, tetapi tidak bermakna mereka wajar membiarkan isteri bersendirian dalam menguruskan kerja rumah.

“Sebenarnya agama Islam mempertanggungjawabkan suami melaksanakan urusan rumah tangga. Pemikiran masyarakat Melayu yang lebih mengutamakan budaya berbanding ajaran agama Islam menyebabkan masyarakat Melayu sering terlepas pandang perkara ini,” ujarnya.

Baginya, salah tanggap berhubung tugas rumah tangga boleh diatasi dengan memberi penjelasan secara mendalam berhubung perkara terbabit kepada masyarakat bersandarkan ajaran agama Islam sebenarnya, tanpa dipengaruhi unsur budaya bagi mengelakkan wanita daripada memegang tanggungjawab lebih daripada sepatutnya.

“Ada sesetengah suami enggan membantu isteri kerana takut dituduh menurut telunjuk isteri. Suami perlu mengetepikan perasaan malu dan ego dalam membantu isteri menguruskan rumah tangga. Mereka tidak sedar fungsi mereka dalam pembentukan keluarga sebenarnya lebih besar,” jelasnya.

0 comments:

Langgan artikel anda di sini

Perhal Blog

Blog ini memuatkan semua artikel yang berkaitan dengan kekeluargaan, kesihatan, motivasi, keagamaan dan permasalahan. Semua artikel di dalam blog ini merupakan artikel yang bertanggungjawab dan disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah popular di negara kita. Makluman.

Artikel Blog Terkini

  © Blogger template Ramadhan Al-Mubarak by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP