Sunday, April 19, 2009

Merajuk biar bertempat

Tabiat suka merajuk ketika bercinta mungkin sesuai tetapi setelah berumah tangga, kelakuan itu perlu ditinggalkan

Soalan:
SAYA sudah mendirikan rumah tangga selama 3 tahun dan masih belum dikurniakan anak. Suami saya seorang yang panas baran. Masalahnya saya amat tertekan dengan sikapnya yang suka mengungkit apabila marah. Kadangkala perkara kecil pun boleh jadi besar. Suami saya juga suka memaki hamun dan ketika marah dia turut memburuk-burukkan ibu bapa saya dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Suami saya juga tidak suka sikap saya yang kuat merajuk. Dia suruh saya ubah perangai itu tetapi saya sukar untuk mengubahnya. Jika saya tidak berubah, dia ingin menceraikan saya. Bagaimana cara saya untuk menyelesaikan masalah ini dan saya amat tertekan dengan sikap suami saya itu.

Insan tertekan

Jawapan:
SALAM kesabaran untuk Insan Tertekan. Persoalan puan ini adalah persoalan yang datang daripada sikap puan sendiri. Pertama puan ditemukan dengan lelaki yang panas baran. Maka, untuk menghadapi manusia sedemikian maka puan harus belajar daripada kisah semalam. Jika dia suka marah dengan sikap puan yang suka merajuk maka cuba elakkan daripada mengulangi kelakuan yang tidak digemari oleh suami. Ini adalah perkara yang boleh puan elakkan, tapi puan masih lakukan. Ini bermakna puan bersikap ‘retak mencari belah’. Jika puan memilih untuk meneruskan kehidupan bersamanya dengan gembira cubalah baiki kelakuan yang dibenci suami. Cuba fikirkan dengan merajuk, puan akan dimarahi. Oleh itu cuba guna cara lain untuk mendapatkan perhatian atau untuk menjelaskan sikap dan pandangan puan dengan suami misalnya dengan bercakap secara berterus-terang apa yang puan mahu daripada suami, dan cuba belajar meluahkan apa yang terkumpul di hati dengan perkataan bukan hanya dengan diam dan merajuk.

Sebenarnya sikap dan perangai suka merajuk ini menandakan puan belum matang emosi. Walaupun sudah dewasa, puan masih bertindak secara keanak-anakan. Ini memang menjadi sebab puan layak dimarahi. Untuk tidak mengulangi sikap keanak-anakan ini, puan boleh belajar menulis senaraikan perkara yang boleh menyinggung dan melukakan hati puan sehingga sanggup merajuk. Sampaikan senarai ini pada suami secara baik, tenang dengan doa dia akan membaca dan memahaminya dengan jelas.

Jika boleh puan bacakan pada dia dengan senang hati bukan dengan paksaan dan gesaan. Perkara ini perlu jika puan tidak boleh menyatakan perkara itu secara lisan kepadanya. Ini bertujuan agar dia tidak melakukan lagi perkara yang boleh membuatkan anda merajuk. Selain itu puan harus ingat terlalu banyak merajuk membuat pasangan bosan dan rimas. Jangan berpegang kepada andaian bahawa pasangan akan memujuk puan setiap kali puan merajuk. Mungkin musim bercinta sebelum kahwin sesuai tetapi setelah berumah tangga tindakan begitu sudah tidak sesuai lagi.

Langkah seterusnya untuk mengurangkan rasa tertekan nada akibat suami yang panas baran ialah dengan menghafal dan memahami 99 nama Allah, kemudian jadikan nama itu sebagai zikir harian misalnya dengan berzikir “Ya Allah, Ya Salam, Ya Quddus memujuknya mendekatkan diri kepada Allah dan tingkatkan minat untuk membaca al-Quran.

0 comments:

Langgan artikel anda di sini

Perhal Blog

Blog ini memuatkan semua artikel yang berkaitan dengan kekeluargaan, kesihatan, motivasi, keagamaan dan permasalahan. Semua artikel di dalam blog ini merupakan artikel yang bertanggungjawab dan disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah popular di negara kita. Makluman.

Artikel Blog Terkini

  © Blogger template Ramadhan Al-Mubarak by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP