Sunday, April 19, 2009

Suami Mengaku Tak Sabar Ceraikan Isteri

Dalam usia 24 tahun, kehidupan saya penuh dengan perjalanan yang berliku. Saya sudah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan yang dinamakan sempena nama anakanda kesayangan Rasulullah S.A.W. Bukan itu saja, saya baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan undangundang. Kisah hidup saya agak tragis.

Pada awalnya, saya seperti menyalahkan takdir tetapi kini saya menjadi seorang yang redha. Sesungguhnya, saya sedar apa yang telah saya lalui telah direncanakan dan mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Dari kecil saya sudah ditinggalkan ibu. Kami langsung tidak pernah ketemu sehinggalah ke hari ini. Ibu kandung saya berbangsa Cina dan ayah pula seorang mualaf yang memeluk agama Islam setelah bertemu ibu tiri.

Saya kemudian dijaga oleh ayah dan ibu tiri. Dia saya anggap sebagai ibu sendiri, kerana menjaga saya dengan penuh kasih sayang. Malangnya selepas kematian anak yang baru dilahirkan, perlakuan ibu bertukar seratus peratus akibat masalah gila meroyannya. Saya dijadikan tempatnya melepaskan segala dendam, dipukul, dikurung, tidak diberi makan malah pernah menolak saya keluar dari kereta hingga terjatuh ke atas jalan raya. Semuanya gara-gara sikap ayah yang tidak mempedulikan perasaan ibu yang baru kehilangan anak akibat “gila perempuan”.

Kesannya, jiwa saya rosak. Rosak kerana penuh dendam dengan perlakuan ibu dan ayah dan saya dijadikan mangsa. Akhirnya ibu bertemu bomoh yang hebat dan bermulalah episod baru ayah. Ayah menjadi seorang yang bodoh, sangat setia kepada ibu dan begitu menuruti segala kehendak ibu akibat penangan bomoh ini. Membasuh baju, mengemas rumah, memasak dan sebagainya adalah rutin ayah walaupun dia sebenarnya berkemampuan. Namun kerana dendam ibu, akhirnya ayah “tersungkur” dan menuruti semua perlakuan ibu.

Dalam diam-diam, racun dendam yang sangat berbisa telah meresap di dalam jiwa saya. Saya menjadi sangat benci kepada ibu. Semasa SPM, saya memperoleh keputusan cemerlang dan memperoleh biasiswa. Dengan RM3000 setahun, saya membelanjakan untuk segala-galanya. Ayah ada memberi ibu duit tetapi ibu membelanjakannya untuk kegunaan sendiri. Bila ayah bertanya, ibu mengaku sudah memberikannya kepada saya.

Masalah ini begitu menghantui saya hinggakan saya terpaksa minum air paip untuk menahan rasa lapar. Episod sedih bermula lagi apabila seorang makcik yang dikenali menelefon saya. Dia seperti mengetahui masalah saya dan kemudiannya membawa saya ke rumahnya. Sangkaan saya, makcik ini berniat baik namun dia “menjual tubuh” saya kepada seorang kenamaan. Awalnya saya menolak tetapi keperluan hidup sangat mendesak. Semenjak itu bermulalah kehidupan saya sebagai perempuan kotor.

Saya sudah tidak peduli lagi dengan kata-kata negatif dari orang sekeliling. Apa yang penting, saya tidak menyusahkan orang lain. Kini saya telah mendirikan rumah tangga dan menjadi seorang isteri yang digantung tidak bertali. Namun saya tetap tabah menjalani kehidupan di samping tanggungjawab membesarkan anak saya. Bagaimana saya menemui jodoh di sebalik kehidupan kelam saya?

Sebagai manusia biasa, saya punya hati dan perasaan. Saya mengenali suami melalui kenalan. Kami berkawan dan selalu melakukan perbuatan terkutuk. Hinggalah saya disahkan mengandung dan membiarkan janin ini terus membesar. Sebelum ini, sudah tiga kali saya menggugurkan kandungan tetapi kali ini saya membiarkannya sahaja.

Saya memaksa suami berkahwin sedangkan dia belum bersedia namun saya tetap memaksanya. Saya menggunakan Akta Jenayah Syariah 1997, yang meletakkan hukuman penjara dan sebat terhadap sesiapa yang beragama Islam yang melakukan persetubuhan luar nikah. Akhirnya suami bersetuju berkahwin kerana takut perkara ini dibawa ke mahkamah.

Majlis perkahwinan kami tidak dihadiri sesiapa kecuali Tok Kadi dan saksi. Keluarga mentua pun tidak hadir. Mereka terlalu sakit hati kerana saya telah melakukan cara ugutan untuk berkahwin dengan anaknya. Bagi saya, itu saja cara untuk menyelamatkan masalah kerana saya yakin masalah tidak akan selesai kalau tidak menggunakan cara itu. Selepas majlis akad nikah selesai, kami membawa haluan masing-masing. Kami tidak tinggal serumah apatah lagi melakukan hubungan suami isteri.

Pada masa itu kandungan saya sudah memasuki tujuh bulan. Hanya Allah yang Maha Mengerti penderitaan jiwa ketika itu. Saya isterinya yang sah, berhak dilayan dengan baik. Saya tidak meminta melakukan hubungan kelamin, cukuplah kalau menjaga saya dengan baik. Saya dilarang berjumpa suami oleh keluarga mentua.

Itu syarat mentua kalau mahukan anaknya. Saat melahirkan, saya bertarung seorang diri. Mereka langsung tidak melawat saya. Malah mentua melemparkan kata-kata nista dengan menyumpah saya mati beranak, saat saya menghubunginya. Dia juga melarang suami ke hospital. Apa yang buat saya terkilan, mentua tidak pernah meninggalkan solat, selalu mengaji al-Quran dan terkenal dengan kewarakannya tetapi mengapa saya dilayan begini?

Saya isteri yang sah kepada anaknya, malah agama juga menuntut kita berbuat baik sesama umatnya. Semuanya kerana satu, saya mengugut anaknya berkahwin dengan saya. Akhirnya saya tidak tahan lagi. Saya meminta suami agar menceraikan saya. Ibu mentua sangat gembira. Kami suami isteri dipanggil ke unit kaunseling. Di hadapan ustazah, suami mengakui sudah tidak sabar untuk menceraikan saya. Katanya saya dan anak pembawa sial dalam kehidupannya.

Suami telah diberi borang cerai. Masalahnya sehingga kini, hubungan kami masih tergantung. Dia juga tidak pernah menjenguk saya dan anak. Kata kawan suami, seperti ada satu kuasa menghalangnya dari menulis borang cerai itu. Hal yang sama berlaku kepada saya juga, saya tidak sanggup mengisi borang tuntutan fasakh itu. Saya memang mahu bercerai tetapi seperti ada sesuatu yang menghalang saya dari terus mengisinya.

Rasanya seperti saya diikat olah satu ikatan yang sangat kuat dan saya tidak berdaya melepaskan diri dari ikatan itu. Hanya Allah sajalah yang Maha Mengerti . Kini saya hanya mampu berserah. Biarlah masa yang menentukan. Saya begitu gembira melayani anak malah sanggup tidur sejam dua untuk semalaman. Walaupun penat tapi hati saya puas setiap kali melihat senyuman anak. Apakah saranan puan ke arah penyelesaian konflik rumah tangga saya ini?

0 comments:

Langgan artikel anda di sini

Perhal Blog

Blog ini memuatkan semua artikel yang berkaitan dengan kekeluargaan, kesihatan, motivasi, keagamaan dan permasalahan. Semua artikel di dalam blog ini merupakan artikel yang bertanggungjawab dan disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah popular di negara kita. Makluman.

Artikel Blog Terkini

  © Blogger template Ramadhan Al-Mubarak by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP