Monday, May 18, 2009

Hadapi 3 masalah kesuburan

SAYA berusia 34 tahun dan suami 35 tahun. Kami sudah berkahwin hampir sembilan tahun. Pada dua bulan pertama perkahwinan, saya disahkan hamil tetapi keguguran dan menjalani rawatan pencucian dilate & curettage (D&C).


Pada tahun berikutnya, saya menggunakan pil subur. Kali pertama pengambilan saya disahkan hamil dan kini anak saya berusia tujuh tahun. Dalam tempoh itu, saya tidak pernah hamil dan berjumpa pakar kesuburan untuk kehamilan seterusnya.

Ujian darah menunjukkan telur tidak dikeluarkan pada bulan berkenaan dan HSG menunjukkan satu tiub falopio tersumbat. Ujian air mani suami 29 juta, kelajuan 60, dalam erti kata lain suami tidak bermasalah.

Doktor mencadangkan saya melakukan rawatan permanian berhadas (IUI). Saya dalam dilema, adakah saya perlu menurunkan berat badan dulu memandangkan berat saya kini hampir 92 kilogram atau terus boleh menjalani IUI?

Apa kaitan berat badan dengan rawatan IUI? Apakah peratusan kejayaan bagi saya menjalani IUI? Adakah satu tiub falopio yang tersumbat itu membolehkan saya hamil secara semula jadi suatu hari nanti? Jika berat saya turun, adakah telur boleh keluar secara semula jadi? Apakah nasihat doktor?

AMINAH,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN

ANDA mempunyai lebih daripada satu masalah berkaitan kesuburan. Anda mengalami masalah berat badan berlebihan, ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur) dan sebelah tiub falopio anda tersumbat.


Ketiadaan ovulasi mungkin lebih berkait dengan masalah berat badan berlebihan. Ini sepatutnya menjadi tumpuan utama anda. Kajian menunjukkan dengan mengurangkan berat badan sebanyak lima hingga 10 peratus saja cukup untuk mengembalikan ovulasi secara spontan tanpa bantuan ubat kesuburan.

Ini bermakna, anda hanya perlu menurunkan sebanyak lima kilogram saja sebagai permulaan, yang dapat dicapai dengan pengubahsuaian diet dan senaman berterusan.

Bagaimanapun, ia usahlah dihentikan setakat itu saja kerana berat badan berlebihan juga boleh mengundang penyakit lain kelak.

Sungguhpun kelak anda dapat mengalami ovulasi sendiri, memandangkan hanya sebelah tiub yang tidak tersumbat (dan diharapkan juga masih berfungsi normal), peluang kesuburan anda pada sesuatu kitaran haid mungkin kurang jika ovulasi berlaku dari ovari pada sebelah yang sama dengan tiub falopio yang tersumbat.

Peluang anda hamil secara semula jadi masih ada jika ovulasi berlaku dari ovari sebelah tiub falopio yang tidak tersumbat. Namun, anda harus faham bahawa ovulasi berlaku dari sebelah ovari kanan atau kiri tanpa mengambil kira giliran.

Maka, pengambilan ubat subur (dalam dos bersesuaian) boleh membanyakkan telur yang mengalami ovulasi dalam sesuatu bulan, termasuk dari ovari sebelah tiub falopio yang tidak tersumbat itu.

Tindak balas ini dapat diperhatikan secara pemantauan ke atas folikel telur ini menggunakan ultrabunyi melalui vagina (faraj).

Rawatan IUI tiada kaitan secara langsung dengan berat badan. Berat badan lebih berkait dengan ovulasi. IUI hanyalah teknik mendekatkan sperma kepada telur secara menghantar sperma ini menggunakan tiub halus yang dimasukkan terus ke dalam ruang rahim.

Selebihnya, sperma ini perlu berenang sendiri (dan dibantu oleh pengecutan tiub falopio) ke dalam tiub falopio yang tidak tersumbat untuk sampai kepada telur yang dijangka menunggu di penghujung tiub itu.

Pada usia anda dan tempoh tujuh tahun terbabit, peluang hamil secara spontan dijangka hanyalah sebanyak dua hingga empat peratus saja. IUI dapat meningkatkan peluang ini kepada 10 peratus.

0 comments:

Langgan artikel anda di sini

Perhal Blog

Blog ini memuatkan semua artikel yang berkaitan dengan kekeluargaan, kesihatan, motivasi, keagamaan dan permasalahan. Semua artikel di dalam blog ini merupakan artikel yang bertanggungjawab dan disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah popular di negara kita. Makluman.

Artikel Blog Terkini

  © Blogger template Ramadhan Al-Mubarak by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP