Friday, May 29, 2009

Seks warga tua bukan hanya hubungan kelamin



MASYARAKAT kita jarang memperkatakan tentang hubungan intim di ranjang atau soal-soal berkaitan hubungan seksual suami isteri secara terbuka, malah untuk bersuara kepada pasangannya juga mereka berasa malu.

Persoalan yang dianggap taboo pada sebilangan masyarakat kini menjadi perkara penting dalam hubungan suami isteri terutama pasangan yang bermasalah.

Sekiranya terdapat masalah melibatkan hubungan seksual, tidak ramai yang tampil ke depan untuk memberikan kenyataan atau mendapatkan rawatan.

Persoalan mengenai keperluan batiniah seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Banyak kemelut dalam rumah tangga bermula apabila suami dan isteri tidak mendapat kepuasan seksual yang diharapkan dalam perhubungan.

Apatah lagi sekiranya pihak suami yang menghadapi masalah disfungsi erektil (ED) enggan mendapatkan rawatan dan tidak mengendahkan keperluan batiniah pasangan mereka.

Kini dianggarkan 152 juta lelaki di seluruh dunia yang berusia 40 tahun ke atas menghadapi ED.

Jumlah ini dikatakan akan meningkat sehingga 322 juta pada tahun 2025.

Walaupun jumlah yang mengalami ED ini semakin meningkat, hanya 15 hingga 20 peratus daripada mereka menerima rawatan.

Bukan itu sahaja, masalah seksual juga dihadapi oleh warga emas. Penurunan hormon androgen bagi lelaki dan masalah menopaus bagi wanita turut memberikan tamparan dalam perhubungan seksual warga emas.

Mungkin ramai yang beranggapan, warga emas tidak lagi mengendahkan mengenai kelangsungan hubungan batiniah ini, benarkah begitu?

Wartawan ROSMAH DAIN dan jurugambar HAYAT SUEET membuka persoalan ini untuk dibincangkan bersama Pakar Perunding Urologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Md. Zainuddin.



Manusia punya keinginan untuk memenuhi keperluan seksual mereka. Namun apabila umur semakin meningkat, keinginan itu akan berkurangan lantaran hubungan intim sudah pasti semakin menurun dengan pelbagai masalah fizikal termasuk masalah alat sulit lelaki yang mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik.

Golongan wanita pula akan mengalami perubahan akibat gejala menopaus dan masalah vagina.

Menurut Pakar Perunding Urologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, sebaik sahaja golongan lelaki berumur 50-an ke atas, kebanyakan mereka menderita disfungsi erektil (ED).

Hormon androgen bagi lelaki juga akan menurun menyebabkan mereka cepat letih.

Beliau memberitahu, hasil kajian yang dilakukan terhadap kekerapan perhubungan seks warga emas yang berumur 50-an hingga 60-an mendapati golongan ini hanya dianggarkan melakukan hubungan berkenaan dua atau tiga kali sebulan.

Kebanyakan warga emas menganggap hubungan intim bagi suami isteri tidak penting, tambahan pula apabila sudah berusia.

“Ini berbeza dengan warga emas di Barat yang masih intim biarpun melewati usia. Sebenarnya hubungan intim di kalangan warga emas tidak perlu berakhir dengan hubungan kelamin.

“Apa yang diperlukan oleh warga emas ialah hubungan mesra, tidur berdua, belaian, urutan dan sebagainya,” katanya.

Namun, apa yang terjadi pada hari ini adalah kebanyakan daripada warga emas apabila memasuki usia ini sudah pun tidur berasingan dan enggan melayan kerenah pasangan menyebabkan suami dan isteri itu semakin terasing.

Rawatan

Beliau memberitahu, fenomena yang berlaku pada hari ini pula menunjukkan kebanyakan suami warga emas cuba untuk mendapatkan rawatan memulihkan kembali status seksual mereka menerusi pelbagai cara.

Mereka akan mendapatkan pelbagai rawatan khususnya di hospital-hospital, tetapi apa yang menjadi masalah ialah mereka tidak membawa isteri masing-masing ketika cuba mendapatkan rawatan.

“Justeru, apabila suami berjaya dirawat dengan mengambil ubat-ubatan untuk merangsang nafsu mereka kembali, di isteri masih berada pada tahap yang ‘sama’. Keadaan ini pasti menimbulkan isu,” katanya.

Dr. Zainuddin menjelaskan, sebaik-baiknya suami yang ingin mendapatkan rawatan membawa bersama isteri masing-masing untuk mendapatkan nasihat.

Ini kerana persetujuan dan persefahaman daripada pasangan adalah perlu untuk keakraban hubungan.

“Pasangan suami isteri tidak perlu malu bertanya bagaimana untuk memperbaiki hubungan seksual mereka. Sebenarnya tiada perkataan zero untuk hubungan seksual bagi usia tua.

Semua keadaan yang menyebabkan kelemahan dari segi seksual boleh dibantu.

Sebagai contoh, terdapat rawatan ubat-ubatan perangsang bagi lelaki dan untuk wanita terdapat gel yang dapat memulihkan kembali kelembapan vagina mereka.

Dr. Zainuddin menerangkan, perhubungan fizikal perlu diteruskan di kalangan suami isteri dan si isteri tidak perlu berfikir untuk ‘menutup kedai’.

Katanya lagi, beliau pernah menerima pesakit warga emas lelaki berumur 78 tahun yang meminta dirawat bagi memulihkan kemampuan seksualnya.

Dalam pada itu, Dr. Zainuddin juga memberitahu, bukan sahaja di kalangan warga emas, malah suami isteri kalangan generasi muda sekarang pun agak dingin untuk melakukan seks akibat penat yang berpunca daripada tekanan kerja dan kesibukan mengejar masa.

Bagi wanita pula, mereka takut untuk mengandung (kerana tidak memakai alat pencegah kehamilan) sekiranya melakukan seks dengan kerap.

Tekanan

Katanya, kajian juga mendapati kekerapan hubungan seksual di kalangan golongan muda berusia 20 hingga 40 tahun hanyalah empat hingga lima kali sebulan.

“Kajian juga menunjukkan golongan muda di luar bandar lebih banyak melakukan hubungan seksual daripada di bandar kerana tidak dibebankan dengan tekanan.

“Tekanan juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kerenggangan hubungan suami isteri,” katanya.

Menurut Dr. Zainuddin, hubungan seks yang dilakukan dengan pasangan tidak perlu mempunyai had asalkan ia memenuhi kepuasan kedua-dua pasangan dan saling merelakan.

Katanya, golongan wanita sebenarnya lebih suka dibelai dan dimanja suami, berbanding dengan golongan lelaki yang mengharapkan belaian berakhir dengan hubungan kelamin.

Dalam pada itu, Dr. Zainuddin menasihatkan golongan lelaki warga emas yang ingin mendapatkan rawatan memulihkan rangsangan seksual agar menilai keupayaan fizikal mereka sendiri terlebih dahulu.

“Kalau datang untuk mendapatkan rawatan pun sudah tidak larat berjalan... susahlah macam itu.

“Bagi wanita yang berkahwin dengan warga emas pula, mereka perlu menerima hakikat bahawa prestasi warga emas tidaklah seperti orang muda,” katanya.


Teruskan bacaan...

Monday, May 25, 2009

Hubungan intim pada usia emas

“SAYA berusia awal 60-an dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang kronik seperti diabetes atau tekanan darah tinggi. Saya masih aktif dalam hubungan intim dengan isteri. Saya ada terbaca mengenai pentingnya peredaran yang sihat dengan kualiti ereksi alat kelamin seseorang lelaki, selain faktor kecergasan fizikal. Apakah makanan tambahan bersesuaian yang boleh membantu?”

JAWAPAN: Peredaran darah yang sihat sememangnya perlu untuk membantu kebolehan mencapai ereksi apabila adanya rangsangan seksual. Bekalan darah yang mencukupi juga penting untuk memastikan kualiti ereksi yang lebih baik.

Herba mempunyai sejarah penggunaan sejak sekian lama dalam menangani masalah kesihatan.

Ginko merupakan antara herba tertua yang digunakan dalam sejarah perubatan China dan kini ia semakin popular di Barat kerana kesannya membantu dalam melancarkan lagi peredaran darah dalam tubuh. Ini tentunya sangat berguna dalam memperbaiki masalah yang berkaitan dengan aliran darah yang lemah.

Dalam usaha untuk menceriakan kehidupan berumah tangga, pengambilan gabungan beberapa jenis herba tradisional seperti Horny goat weed, ginseng, Damiana, Withania, Muira puama dan Puncture vine tentunya akan memberi manfaat kesihatan yang lebih baik.


Herba-herba ini juga bersifat adaptogen dan kebanyakannya dianggap sebagai afrodisia di kalangan masyarakat terdahulu. Keberkesanannya menjadikan ia masih kekal sebagai herba yang bagus untuk meningkatkan prestasi seksual.

Berdasarkan ujian yang dijalankan sebelum ini, gabungan herba-herba ini bukan sahaja bermanfaat untuk meningkatkan tenaga dan melegakan kelesuan yang semakin banyak dialami oleh golongan muda kini, tetapi juga membantu menyemarakkan kehidupan berumah tangga bersama pasangan anda.


Teruskan bacaan...

Saturday, May 23, 2009

Probiotik masalah wanita

Saya seorang wanita yang kerap mengalami masalah kewanitaan seperti jangkitan yang menyebabkan saya mengalami masalah keputihan. Masalah ini tentunya tidak menyenangkan kerana ia menimbulkan rasa gatal, mengeluarkan bau dan turut menjejaskan hubungan intim dengan suami. Selepas pengambilan antibiotik keadaan akan pulih, namun ia kerap berulang kembali. Adakah masalah ini boleh dibantu dengan pemakanan tambahan?,

JAWAPAN:

Pengeluaran cecair keputihan yang luar biasa yang disertai oleh bau lazimnya menjadi indikasi kepada jangkitan, sama ada jangkitan bakteria atau kulat/yis. Ada juga di kalangan wanita yang mengalami kegatalan yang serius, bengkak dan kemerahan yang menjejaskan aktiviti-aktiviti harian.

Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan menghidap diabetes merupakan antara golongan yang lebih mudah mendapat jangkitan. Antara penyebab lazim termasuklah ketidakseimbangan flora vagina dan pertumbuhan bakteria berbahaya yang berlebihan, perubahan hormon, gangguan pH vagina, faktor kebersihan dan sebagainya.

Berbeza dengan pengambilan antibiotik yang mengganggu keseimbangan flora vagina, strain probiotik ini mengembali dan mengekalkan flora vagina serta membantu menangani masalah urogenital dengan lebih berkesan. Probiotik dari strain Lactobacillus GR-1™ dan Lactobacillus RC-14® diperakui dapat mengelak dan merawat jangkitan bakteria (Bacteria Vaginosis) dan vaginitis yis. Strain probiotik ini juga membantu merencat dan mengawal patogen vagina dengan mengeluarkan protein anti jangkitan dan mencegah pelekatan organisma berbahaya pada sel epitelium serta mencegah pertumbuhan bakteria dan yis.


Amalan-amalan berikut mungkin membantu mengekalkan kesihatan vagina wanita:

Sentiasa menjaga kebersihan, termasuk juga pasangan anda.
Memakai pakaian dalam daripada kapas dan elakkan memakai seluar yang ketat.
Membersihkan bahagian genital dari depan ke belakang setiap kali selepas membuang air.
Diet yang seimbang merupakan kunci untuk melawan jangkitan urogenital. Kurangkan makanan manis dan karbohidrat ringkas, terutamanya semakin jangkitan.
inum lapan hingga sepuluh gelas air setiap hari untuk menyingkirkan bakteria.


Teruskan bacaan...

Monday, May 18, 2009

Tertib jimak

HUBUNGAN intim dalam perkahwinan dapat mengeratkan silaturahim antara pasangan jika hubungan itu selesa, mesra dan menyeronokkan. Oleh itu, lakukan sentuhan intim yang dapat menimbulkan keseronokan isteri.

Pastikan ereksi disalurkan apabila isteri bersedia dan bukan sebelum itu. Isteri perlu memberi isyarat yang dia bersedia untuk hubungan seksual penetrasi dan suami pastikan gerakan dilakukan secara terkawal atau mengikut tertib.


Banyak buku panduan mengenai persetubuhan sudah lama wujud sebagai rujukan seperti ‘Kamasutra’ oleh pendita India, Vatsayana, buku bertajuk ‘Kebun Harum’ atau ‘Perfume Garden’ oleh ahli falsafah Islam, Sheikh Nefzawi, dan yang terbaru ‘The Joy of Sex’ oleh Alex Comfort.

Buku ini mampu memberi pembaca panduan mengenai cara dan gaya bersetubuh, termasuk cara memulakannya. Panduan jimak dalam Islam juga diketengahkan oleh Imam Al-Suyuti dan Al-Nawawi.

Malah, Rasulullah SAW menjelaskan, jimak itu ibadah dan ada tertibnya, termasuk kebersihan badan dan adab bersetubuh. Secara tertibnya, suami perlu melakukan belaian dan sentuhan supaya isteri bersedia menerima kemasukan zakar ke dalam faraj. Jika suami tidak melakukan itu dan masuk tanpa isteri bersedia, si suami dilaknati Tuhan.


Jadi hubungan seksual dalam pandangan Islam adalah satu ibadah dan tanggungjawab yang perlu dimanfaatkan oleh pasangan, sekali gus mustahak untuk mereka berusaha menjayakannya.

Mungkin tips untuk memulakan hubungan keintiman seksual bermula dengan pasangan dalam keadaan selesa dan mesra. Mereka boleh mulakan dengan sentuhan dan belaian sambil melakukan kucupan dan sentuhan erotik ke bahagian tubuh yang merangsangkan.

Dalam keadaan terangsang, tentu suami mencapai ereksi dan isteri mengalami kelembapan anggota sulit. Dalam keadaan bersedia, lebih mudah untuk suami dan isteri memainkan fungsi masing-masing dengan lebih lancar.

Jika isteri cemas atau ‘seriau’ (bimbang), dia tidak dapat mengawal faraj dan sukar untuk suami mendekatinya kerana faraj dalam keadaan kemut. Keadaan ini dikenali sebagai ‘vaginismus’.

Jika suami terpancut awal, pastikan dia dapat mengulangi hubungan seksual itu kemudian kerana kemungkinan ejakulasi cepat berlaku kali kedua jarang berlaku.

Isteri jangan rasa tertekan jika suami masih gagal mengawal daya saraf untuk mengelak ejakulasi cepat. Mungkin apabila sensitiviti anggota kemaluannya dapat dikurangkan, lama-kelamaan suami dapat memanjangkan sentuhan intim itu dan dapatlah isteri menikmati kepuasan.

Paling penting, hubungan intim perlu mengikut tertib atau adab kerana bukan hanya mengikut kehendak agama, tetapi juga mampu membantu pasangan itu mencapai klimaks dan memuaskan hati ketika hubungan.

Teruskan bacaan...

Hadapi 3 masalah kesuburan

SAYA berusia 34 tahun dan suami 35 tahun. Kami sudah berkahwin hampir sembilan tahun. Pada dua bulan pertama perkahwinan, saya disahkan hamil tetapi keguguran dan menjalani rawatan pencucian dilate & curettage (D&C).


Pada tahun berikutnya, saya menggunakan pil subur. Kali pertama pengambilan saya disahkan hamil dan kini anak saya berusia tujuh tahun. Dalam tempoh itu, saya tidak pernah hamil dan berjumpa pakar kesuburan untuk kehamilan seterusnya.

Ujian darah menunjukkan telur tidak dikeluarkan pada bulan berkenaan dan HSG menunjukkan satu tiub falopio tersumbat. Ujian air mani suami 29 juta, kelajuan 60, dalam erti kata lain suami tidak bermasalah.

Doktor mencadangkan saya melakukan rawatan permanian berhadas (IUI). Saya dalam dilema, adakah saya perlu menurunkan berat badan dulu memandangkan berat saya kini hampir 92 kilogram atau terus boleh menjalani IUI?

Apa kaitan berat badan dengan rawatan IUI? Apakah peratusan kejayaan bagi saya menjalani IUI? Adakah satu tiub falopio yang tersumbat itu membolehkan saya hamil secara semula jadi suatu hari nanti? Jika berat saya turun, adakah telur boleh keluar secara semula jadi? Apakah nasihat doktor?

AMINAH,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN

ANDA mempunyai lebih daripada satu masalah berkaitan kesuburan. Anda mengalami masalah berat badan berlebihan, ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur) dan sebelah tiub falopio anda tersumbat.


Ketiadaan ovulasi mungkin lebih berkait dengan masalah berat badan berlebihan. Ini sepatutnya menjadi tumpuan utama anda. Kajian menunjukkan dengan mengurangkan berat badan sebanyak lima hingga 10 peratus saja cukup untuk mengembalikan ovulasi secara spontan tanpa bantuan ubat kesuburan.

Ini bermakna, anda hanya perlu menurunkan sebanyak lima kilogram saja sebagai permulaan, yang dapat dicapai dengan pengubahsuaian diet dan senaman berterusan.

Bagaimanapun, ia usahlah dihentikan setakat itu saja kerana berat badan berlebihan juga boleh mengundang penyakit lain kelak.

Sungguhpun kelak anda dapat mengalami ovulasi sendiri, memandangkan hanya sebelah tiub yang tidak tersumbat (dan diharapkan juga masih berfungsi normal), peluang kesuburan anda pada sesuatu kitaran haid mungkin kurang jika ovulasi berlaku dari ovari pada sebelah yang sama dengan tiub falopio yang tersumbat.

Peluang anda hamil secara semula jadi masih ada jika ovulasi berlaku dari ovari sebelah tiub falopio yang tidak tersumbat. Namun, anda harus faham bahawa ovulasi berlaku dari sebelah ovari kanan atau kiri tanpa mengambil kira giliran.

Maka, pengambilan ubat subur (dalam dos bersesuaian) boleh membanyakkan telur yang mengalami ovulasi dalam sesuatu bulan, termasuk dari ovari sebelah tiub falopio yang tidak tersumbat itu.

Tindak balas ini dapat diperhatikan secara pemantauan ke atas folikel telur ini menggunakan ultrabunyi melalui vagina (faraj).

Rawatan IUI tiada kaitan secara langsung dengan berat badan. Berat badan lebih berkait dengan ovulasi. IUI hanyalah teknik mendekatkan sperma kepada telur secara menghantar sperma ini menggunakan tiub halus yang dimasukkan terus ke dalam ruang rahim.

Selebihnya, sperma ini perlu berenang sendiri (dan dibantu oleh pengecutan tiub falopio) ke dalam tiub falopio yang tidak tersumbat untuk sampai kepada telur yang dijangka menunggu di penghujung tiub itu.

Pada usia anda dan tempoh tujuh tahun terbabit, peluang hamil secara spontan dijangka hanyalah sebanyak dua hingga empat peratus saja. IUI dapat meningkatkan peluang ini kepada 10 peratus.

Teruskan bacaan...

Tuesday, May 12, 2009

Hubungan timbulkan kesakitan

SAYA berusia 25 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga. Masalah saya ialah zakar saya yang berbulu dan ia menyebabkan isteri saya kurang selesa kerana menimbulkan kesakitan pada alat sulitnya ketika melakukan hubungan seksual. Bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah saya?

MUS
Kemanan, Terengganu

Ada lelaki mempunyai bulu roma di sekitar kulit permulaan atau pangkal zakar. Ini berlaku secara semula jadi dan paling biasa berlaku kepada lelaki keturunan India, Pakistan atau Arab, walaupun ada juga kes di kalangan lelaki bangsa lain.

Namun, ada juga keadaan yang mana kulit bahagian tundun tertarik ketika ereksi berlaku sehingga memenuhi setengah atau satu inci pangkal zakar dan menyebabkan pangkal zakar berbulu dan boleh memberi perasaan kurang selesa kepada pasangan perempuan ketika mereka bersetubuh.


Situasi sedemikian mungkin berlaku apabila ketika berkhatan, kulit kulup zakar terpotong berlebihan sehingga kulit tundun tertarik ke pangkal zakar ketika ereksi.

Cara baik untuk mengelak keadaan tidak selesa itu ialah dengan lelaki berkenaan mencukur bulu roma setiap hari sambil menyapu krim pelembap supaya kulit tidak menggerutu.

Ada juga cara lain seperti memotong kulit dan menampal kulit tanpa bulu roma boleh juga dilakukan, tetapi jika boleh dielakkan, lagi baik disebabkan jenis kulit yang berbeza selain kemungkinan kerosakan urat saraf.

Teruskan bacaan...

Thursday, May 7, 2009

Kerja rumah tugas siapa?

BUKU Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karya Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga yang diterbitkan pada 1981 menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.

Sekiranya isteri melakukan semua itu, mereka berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah dan penulisnya menerusi buku itu menjelaskan, kewajipan isteri hanya taat kepada suami bagi memuaskan kehendaknya dan tinggal dalam rumah serta tidak boleh keluar tanpa izin.
Maklumat ini yang tertera dalam halaman 184 hingga 185, pasti mengejutkan pembaca yang kurang arif berhubung perkara terbabit atau tidak pernah mendengarnya sebelum ini, selain perkara sedemikian akan dilihat sebagai di luar kebiasaan atau dayus jika dilihat daripada kaca mata budaya Melayu.


Ini kerana menjadi adat resam dan budaya dalam masyarakat Melayu sejak berzaman, isteri akan bertanggungjawab menguruskan segala kerja rumah manakala tugas berat dibantu suami yang tugas utamanya mencari nafkah demi kelangsungan seisi keluarga.

Bagaimanapun perubahan zaman, kini menyaksikan sesetengah suami dalam masyarakat Melayu sudah mula pandai berkongsi tanggungjawab melaksanakan kerja rumah tangga apatah lagi, isteri kini turut membantu memperkukuhkan ekonomi keluarga dengan sedia bekerja atau berniaga.

Malahan, pencapaian wanita yang lebih menggalakkan dalam pendidikan pada era kini memungkinkan mereka menjawat jawatan penting dan gaji lumayan, lalu masalah mendapatkan pembantu rumah bertanggungjawab dalam menguruskan anak dan rumah, memaksa sesetengah suami kelompok ini melepaskan jawatan dan menguruskan rumah tangga.

Pensyarah Psikologi Perkembangan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Asmah Bee Md Noor, berkata senario suami mula membantu isteri melakukan kerja rumah dan suami sepenuh masa dapat membantu ke arah pembentukan institusi kekeluargaan yang sihat.

“Senario ini bukan lagi kejanggalan bagi masyarakat Malaysia termasuk Melayu kerana situasi wanita berkahwin dengan lelaki berpendapatan lebih rendah menuntut perubahan sebegini. Tidak salah wanita memegang tanggungjawab mencari nafkah keluarga selagi mereka ikhlas untuk membantu,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, UKM, Bangi, baru-baru ini.

Baginya, budaya Melayu yang meletakkan tanggungjawab mengurus rumah tangga di bahu wanita hingga menyebabkan golongan Adam menganggap tugas mereka terhad kepada menyara keluarga dan tugas itu kekal, meskipun mereka menyumbang ke arah memantapkan ekonomi keluarga dengan bekerja.

Justeru, golongan suami dinasihatkan agar memahami keupayaan wanita dengan tidak membiarkan mereka tertekan kerana fizikal wanita terhad kepada sesetengah perkara saja berbanding lelaki serta perlu ringan tulang dalam pelaksanaan tugas rumah tangga.

“Ibu bapa wajar mendidik anak pada peringkat awal perkembangan mereka bahawa setiap tugas dalam rumah tangga tanggungjawab bersama dan boleh bertukar. Tanggapan bahawa wanita bertanggungjawab sepenuhnya dalam tugas rumah perlu diperbetulkan dengan mengadakan seminar kekeluargaan dan menyelitkannya dalam kursus perkahwinan,” jelasnya.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam (Api), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali, mengakui bahawa tanggungjawab mencari nafkah keluarga sewajarnya dipegang suami selaku ketua dalam rumah tangga, tetapi tidak bermakna mereka wajar membiarkan isteri bersendirian dalam menguruskan kerja rumah.

“Sebenarnya agama Islam mempertanggungjawabkan suami melaksanakan urusan rumah tangga. Pemikiran masyarakat Melayu yang lebih mengutamakan budaya berbanding ajaran agama Islam menyebabkan masyarakat Melayu sering terlepas pandang perkara ini,” ujarnya.

Baginya, salah tanggap berhubung tugas rumah tangga boleh diatasi dengan memberi penjelasan secara mendalam berhubung perkara terbabit kepada masyarakat bersandarkan ajaran agama Islam sebenarnya, tanpa dipengaruhi unsur budaya bagi mengelakkan wanita daripada memegang tanggungjawab lebih daripada sepatutnya.

“Ada sesetengah suami enggan membantu isteri kerana takut dituduh menurut telunjuk isteri. Suami perlu mengetepikan perasaan malu dan ego dalam membantu isteri menguruskan rumah tangga. Mereka tidak sedar fungsi mereka dalam pembentukan keluarga sebenarnya lebih besar,” jelasnya.

Teruskan bacaan...

Monday, May 4, 2009

Alami gatal-gatal

SOALAN

SAYA bersama suami mendirikan rumah tangga hampir 12 tahun dan memiliki tiga anak. Sejak kebelakangan ini suami saya yang berumur 37 tahun mengalami gatal-gatal teruk pada seluruh tubuh hampir setiap kali selepas kami ‘bersama’.

Untuk pengetahuan doktor, dia ada kencing manis dan masalah jantung tersumbat peringkat awal dan sekarang dia mengambil Gliclazide 80mg sebiji pada setiap pagi dan malam.

Jika ia berpunca daripada aktiviti lasak, dia tidak mengalami kegatalan ketika bersukan. Dia masih lagi aktif bermain sepak takraw dan badminton.

Tempoh masa bersama tidaklah panjang mana, paling lama 15 minit saja. Harap doktor dapat beri penjelasan dan cadangan rawatan sepatutnya.

ROHAYU
Taiping, Perak


JAWAPAN

Suami anda mengalami kegatalan keseluruhan badan selepas saja selesai seks dan perkara ini hanya berlaku sejak kebelakangan ini.

Sudah tentu dia akan berasa cemas setiap kali berhajat bersetubuh dengan anda dan perasaan cemas itu meningkatkan lagi kemungkinan proses kegatalan berlaku!

Namun kegatalan yang berlaku kepadanya bukan kerana persetubuhan itu. Ia mungkin berlaku akibat tindak balas alahan kepada sesuatu yang terkena badannya.

Jika selama ini dia tidak pernah mengalami alahan, mungkin ini berlaku kerana dia tidak alah dengan apa saja yang terdedah kepadanya, sama ada melalui kulit badan atau mulut atau daripada benda yang dimakannya.

Biasanya proses untuk sesuatu itu berlaku mengambil masa lama iaitu kejadian alahan hanya berlaku beberapa bulan atau tahun kemudian apabila tubuh badannya mula berinteraksi dan mencetuskan proses alahan.

Selain itu, banyak lagi perkara boleh mencetuskan proses alahan itu seperti ‘pollen’ atau debunga di atas katil atau unggas dan juga wangian serta kosmetik yang digunakan isteri.

Jika kegatalan itu akibat alahan, ia akan reda apabila tiada sentuhan dengan benda itu. Jika terdedah lagi, alahan akan tercetus kembali.

Suami anda boleh jumpa doktor untuk mendapat ubat mengawal alahan untuk dimakan sebelum melakukan persetubuhan.

Bagaimanapun, ada sebilangan ubat anti alahan yang boleh mengurangkan proses kemasukan darah dalam otot zakar dan mengganggu ereksi.

Mengenai masalah cepat klimaks yang dialami suami, ini boleh dikaitkan dengan penyakit kencing manisnya kerana penyakit itu mengakibatkan urat saraf penghujung radang dan organ yang mempunyai urat saraf radang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Lelaki yang menghidap kencing manis dan masih dapat mencapai ereksi akan dapati anggota kelaminnya sensitif kepada sentuhan, selain mendapati tahap ereksi tidak keras seperti dulu.

Dalam keadaan ini, dia sukar mengawal ereksi dan perasaan sensitif itu, jadi dia akan terpancut lebih awal dari yang dia dan pasangannya kehendaki.

Dia akan dapati jika tidak gerak cepat, rangsangan kurang dan ereksi boleh kendur, manakala jika digerak cepat pula, rasa sangat sensitif.

Jadi inilah dilema lelaki yang menghidap kencing manis, jika tidak mati pucuk, cepat klimaks pula! Anda oleh cadangkan pasangan anda berjumpa doktor untuk selesaikan masalah alahan dan cepat klimaks.

Kedua-dua itu tiada kaitan, tapi ubat alahan boleh mengganggu ereksi jika tidak kena yang sesuai

Teruskan bacaan...

Rabun, cepat tua

SESETENGAH ulama mendakwa persetubuhan yang kerap boleh menyebabkan penglihatan menjadi rabun, cepat tua dan sebagainya, tetapi apa pula kesannya daripada segi kajian saintifik?

D’ZULQARNAIN
Kuching, Sarawak


Satu ketika dulu, Rasulullah SAW pernah ditanya sahabat mengenai gaya persetubuhan dari belakang yang kononnya mengikut ulama terdahulu boleh menyebabkan anak yang dilahirkan macam keldai.

Jawapan Rasulullah ialah cara itu harus dan jalanannya melalui faraj saja, malah ada banyak lagi perkara yang satu ketika dulu dianggap janggal didapati sebenarnya disalah tafsirkan seperti perkara yang anda ketengahkan mengenai persetubuhan.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa persetubuhan sangat digalakkan dalam Islam. Ia ibadah dan pahalanya sangat tinggi. Pasangan itu perlu dalam keadaan bersih, yakin dan melakukannya secara tertib serta beradab seperti kita melakukan solat.

Persetubuhan dapat mengeratkan silaturahim antara pasangan dan merapatkan sanubari dan keintiman sepanjang hayat.

Mengikut kajian saintifik, ketika bersetubuh dan pasangan dalam keadaan seronok, hormon ‘oxitocin’ keluar dan ini mengeratkan silaturahim antara mereka.

Pengeluaran hormon ‘vasopressin’ merapatkan sanubari kedua-dua mereka sehingga hanya perasaan gembira antara mereka berdua!

Jadi anda boleh bayangkan perkara yang anda nyatakan itu tidak tepat, malah bercanggah dengan kefahaman sebenar Islam dan juga saintifik.

Teruskan bacaan...

Sunday, May 3, 2009

Tahap upaya

SETIAP orang dewasa ada keinginan dan nafsu. Apabila nafsu syahwat mula membuak, itu antara tanda sampai masanya untuk seseorang itu berkahwin. Keadaan itu normal bagi seseorang individu dan ia sebahagian putaran kehidupan.

Bagaimanapun, cuba bayangkan jika seseorang itu, terutama lelaki, dilahirkan sebagai seorang yang ‘istimewa’ seperti kekurangan dalam aspek intelektualnya. Lalu, dia diaturkan berkahwin oleh keluarganya.


Mungkin ramai akan tertanya-tanya mengenai keinginan syahwatnya dan timbul persoalan adakah dia mampu memberi nafkah batin kepada isteri secukupnya. Ini kerana, daripada segi pemikiran dia tidak dapat bertindak seperti orang normal.

Individu seperti itu juga mungkin tidak dapat membawa dirinya sebagai suami dalam erti kata sebenarnya, termasuk keperluan batin isteri.

Sebelum berkahwin, insan istimewa ini juga mungkin tidak pernah terfikir mengenai hubungan seks antara suami isteri dan kepentingannya. Ia mungkin berlanjutan selepas perkahwinan kerana tidak tahu mengenai tanggungjawabnya sebagai suami.

Kemungkinan suami tidak tahu melakukan hubungan seksual atau mengalami mati pucuk prima boleh menyebabkan si isteri kecewa dan perkahwinan itu berkemungkinan berakhir dengan perceraian.

Ini kerana sejak berkahwin suami tidak pernah melakukan persetubuhan, mungkin hanya sentuhan.

Bagaimanapun, insan istimewa itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mungkin sepanjang hidupnya dia tidak pernah mencapai ereksi secara spontan atau tidak pernah mengenali apa itu ereksi.

Dia mungkin hanya tahu zakarnya kadangkala membesar, terutama waktu bangun tidur. Mungkin keluarganya dapat melihat ereksinya ketika dia nyenyak tidur dan menganggap perkara itu petanda dia sihat.

Namun, ereksi itu ialah ‘ereksi refleksi’ ketika lelaki tidur nyenyak yang menandakan fungsi zakar sihat. Untuk menggunakan zakar ketika bersetubuh, minda perlu terangsang dan mesej perlu sampai ke zakar supaya salur darah otot zakar mengembang.

Jadi macam mana hendak melakukan hubungan seks dengan pasangan, sedangkan dia tidak pernah mencapai ereksi. Jika ini berterusan dan tiada tindakan diambil, lambat laun hubungan suami isteri menjadi hambar.

Saya pernah memeriksa lelaki yang lembap mentalnya dan berkahwin atas pilihan keluarganya, tetapi pandai memainkan tanggungjawab sebagai suami penyayang.

Selepas berkahwin dua tahun, si isteri mengadu kepada ibu mentua yang suaminya tidak pernah melakukan persetubuhan, hanya pegang dan pelukan intim. Perkara itu dimaklumkan kepada bapa suami yang akhirnya membuat temujanji dengan saya kerana mengesyaki anaknya mati pucuk.

Mengikut isterinya, suaminya tidak pernah mencapai ereksi sewaktu bersentuhan badan, tetapi ketika tidur ereksi spontan kerap berlaku. Bagaimanapun, setiap kali suami tersedar ereksi terputus begitu saja.

Pemeriksaan awal menunjukkan dia gemar perempuan dan kasih kepada isterinya. Dia diberi tunjuk ajar cara menggunakan ereksi untuk bersetubuh. Akhirnya dia berjaya mengatasi masalah itu dan kini memperoleh anak.

Kesimpulannya, mungkin mereka sebenarnya mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai suami kepada isteri, tetapi perlu diberikan bimbingan.

Teruskan bacaan...

Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda

Kes 1: Berpunca orang ketiga
Kakitangan kerajaan di sebuah universiti terkemuka, Linda (bukan nama sebenar) merasai derita berumah tangga apabila diceraikan pada usia 27 tahun hanya selepas tiga tahun berkahwin.

Keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga iaitu rakan sekerja suaminya dan bibit cinta bermula usik-mengusik, selain kerap menghabiskan masa bersama.

“Bermula secara suka-suka langsung hati terpaut. Lelaki suka bergurau, silapnya wanita mudah perasan dan percaya. Usikan yang mulanya bertujuan mengeratkan persahabatan bertukar menjadi hubungan cinta,” katanya.

Perkahwinan pada usia 25 tahun pada 2001 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Selepas berpisah, Linda menuntut hak penjagaan kerana ingin menumpahkan sepenuhnya kasih sayang terhadap anaknya itu.

“Lagipun, ini satu-satunya zuriat dan buah cinta kami. Bagi saya, kasih ibu, cinta sejati dan tidak ada sesiapapun yang dapat menandinginya,” katanya.

Kecurangan suami dihidu apabila dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah. Kedatangan wanita tidak dikenali di tempat kerja dan mendesaknya bercerai dengan suami mengukuhkan firasat bahawa suaminya bermain kayu tiga. Hatinya lebih hancur apabila suaminya mengaku menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita itu.

“Oleh kerana sayang dan fikirkan anak, saya sanggup bermadu. Namun, suami berat hati kerana kekasihnya itu mengenakan syarat iaitu jika ingin kekalkan perkahwinan, tinggalkannya,” katanya sebelum berusaha mengajak suami bertemu kaunselor bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka.

Malangnya, selepas dua sesi kaunseling, suami enggan memberi kerjasama. Bermula detik itu, Linda faham suaminya tidak berminat meneruskan ikatan perkahwinan mereka.

Mengimbau semula perkahwinan singkatnya, Linda mengaku serik dan lebih berhati-hati menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Baginya, status ibu tunggal bukan halangan untuk bahagia tetapi kebajikan dan keselesaan anak menjadi keutamaan.

“Biarpun hampir tujuh tahun bercerai, saya masih trauma untuk berkahwin,” katanya yang bersetuju faktor usia turut menyumbang kepada kemusnahan institusi keluarga.

“Sungguhpun usia 25 tahun dikatakan peringkat umur paling sesuai mengakhiri zaman bujang namun perlu ingat, ketika itu juga kerjaya baru hendak bertapak. Kesibukan kerja juga penyebab hubungan dingin kerana tidak ada masa berkongsi cerita, selain jarang bertemu muka,”

“Faktor kerja luar dan lebih masa juga sering dijadikan alasan tidak pulang ke rumah. Di sinilah silap saya kerana terlalu percayakan kata-kata suami. Saya fikir dia banyak kerja, rupa-rupanya dia main cinta dengan rakan sepejabat,”ujarnya.

Kes 2: Terlalu berusaha sehingga hipokrit

HUSAIRI Husin, seorang guru, tidak menyangka usia perkahwinan lebih singkat daripada tempoh bercinta. Rumah tangga dibina hanya bertahan dua tahun berbanding 14 tahun melayari alam percintaan.

Setahun selepas melamar, Husairi dan pasangannya diijabkabulkan ketika masing-masing berusia pertengahan 20-an. Kedua-duanya berazam melakukan yang terbaik untuk rumah tangga tanpa sedar kesungguhan membahagiakan hati masing-masing akhirnya meleburkan perkahwinan.

“Saya dan isteri terlalu berusaha hingga akhirnya terpaksa menjadi hipokrit. Oleh kerana ingin dilihat sempurna, kami menyembunyikan masalah serta kelemahan peribadi. Apabila mula tidak berkongsi cerita, rumah tangga menjadi dingin, sekali gus hilang punca,” katanya yang membujang kembali ketika umur belum pun mencecah 30 tahun.

Bagi Husairi, cabaran utama berkahwin muda ialah menyesuaikan diri daripada kehidupan solo kepada komitmen perkahwinan. Dalam usaha mengenali dan saling berkongsi itu, karektor serta kelemahan yang sebelumnya cuba disorok mula menjelma.

“Ketika ingin membiasakan diri, timbul perangai yang tidak disenangi, namun masing-masing enggan berterus-terang. Itu sebabnya, sekecil-kecil masalah pun boleh mencetuskan pertengkaran, misalnya berbalah memilih saluran televisyen, tidak sependapat mengenai restoran pilihan untuk makan malam, malah waktu serta tempat tidur pun menjadi isu,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila pasangannya yang berkerjaya tetap, memiliki segala-galanya, daripada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Faktor ini dianggap Husairi mempengaruhi gaya hidup berdikari, melenyapkan perasaan hormat isteri terhadap suami sekali gus menjarakkan lagi kemesraan di antara mereka.

“Disebabkan isteri ada segalanya, dia enggan mengikut dan mendengar kata suami. Saya pernah mempelawanya tinggal bersama, namun dia menolak kerana ada rumah dan boleh hidup sendiri,” katanya.

Oleh kerana masih mahu memperbaiki hubungan suami isteri, dia dan isteri mendapatkan khidmat kaunseling, namun tidak berjaya kerana isterinya sudah terlalu lama memendam perasaan.

“Kami ambil keputusan berpisah kerana tidak mahu membazirkan usia muda dengan perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya yang belum bersedia mencari pengganti.

Ditanya mengenai kesilapan yang tidak mungkin diulang andai satu hari nanti bertemu jodoh lagi, Husairi berazam tidak memendam rasa, berusaha memahami hati pasangan, berkongsi kehendak dan keperluan, selain paling mustahak, menerima kelebihan serta kekurangan pasangan seadanya.

Teruskan bacaan...

Saturday, May 2, 2009

Hilang sentuhan romantis kerana dingin seks

SEKS, apa pentingnya kepada manusia selain mendapatkan zuriat?. Menurut satu laporan, masyarakat di negara ini semakin pudar sentuhan romantis dan sukar mendapat kepuasan yang sepenuhnya daripada pasangan.

Hubungan seksual dilaporkan sebagai fundamental atau pada asasnya merupakan sebahagian daripada kesejahteraan dan kesihatan manusia.

Lantaran itu, hubungan seksual yang sihat, mempunyai faktor yang seimbang dari segi fizikal, emosi dan sosiologi. Ia berkait rapat dengan perlindungan serta memupuk kasih sayang dengan pasangan.

Wartawan Keluarga Rahana MD berkongsi maklumat mengenai Laporan Kaji Selidik Global Kesejahteraan seksual Durex (jenama kondom) keluaran SSL Healthcare Malaysia Sdn. Bhd 2007/2008 serta temu bual dengan pakar yang berkaitan.

RAKYAT Malaysia masih mencari-cari kepuasan seksual, lapor Kaji Selidik Global Kesejahteraan seksual Durex( jenama kondom) 2007/2008. Laporan itu menyebut, masyarakat di negara ini kehilangan sentuhan romantis dan masalah seksual menjadi faktor utama.

Kaji selidik yang dijalankan membabitkan lebih 26,000 responden dari 26 negara, dengan 1,026 daripadanya adalah warga Malaysia.

Responden telah ditanya tentang semua aspek kehidupan seks merangkumi kesihatan, kesejahteraan am, pendidikan, kepercayaan, seks dan perhubungan serta sikap mereka terhadap perhubungan seks.

Agak mengejutkan keranan daripada lima orang, kurang dua merasa kepuasan sepenuhnya dan didapati rakyat Malaysia telah kehilangan minat, keinginan dan sentuhan romantis.

Hanya 38 peratus daripada responden mendakwa mereka benar-benar mendapat kepuasan daripada kehidupan seks.

Bagaimana pun, responden wanita Malaysia lebih merasa puas daripada responden lelaki, dengan 40 peratus menyatakan mereka mendapat kepuasan sepenuhnya, berbanding 37 peratus responden lelaki.

Situasi tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan kerana keadaan yang sama juga dirasai oleh masyarakat dunia.

Hanya 44 peratus daripada semua responden mendakwa benar-benar bahagia dan gembira dengan kehidupan seks mereka.

Ternyata rakyat Malaysia merasa lebih puas daripada masyarakat di Jepun kerana hanya 15 peratus mendapat kepuasan.

Negara juga berada di atas berbanding masyarakat di Perancis, yang selama ini dianggap negara romantik, tetapi daripada empat responden, hanya seorang atau 25 peratus sahaja yang merasai kepuasan sepenuhnya.

Lantaran itu, apakah yang menyebabkan berlaku situasi tidak keruan di dalam bilik tidur pasangan di Malaysia?

Di Malaysia, secara purata hubungan seks dilakukan sebanyak 115 kali setahun berbanding angka purata global iaitu 103 kali setahun.

Sekali lagi Jepun tampil sebagai negara yang paling kurang aktif, dengan penduduknya melakukan hubungan seks hanya 48 kali setahun.

Sungguhpun kebanyakan pasangan di seluruh dunia memahami masalah yang dihadapi, namun tiga daripada lima responden atau 61 peratus yakin dan percaya kehidupan seks boleh ditingkatkan dengan cara mengurangkan tekanan dan kelesuan.

Sementara 64 peratus ingin merasai lebih keseronokan ketika bersama pasangan dan satu perempat lagi melahirkan rasa ingin bebas atau kurang kongkongan.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia mempunyai idea jelas teknik untuk memperbaiki kehidupan seks. Antaranya menyuntik elemen belaian kasih sayang, kemesraan dan sentuhan romantis bersama pasangan dan diakui oleh 74 peratus.

Dua pertiga atau 64 peratus lagi inginkan lebih keintiman dan komunikasi lebih baik dan bilangan yang sama juga mengidam lebih banyak masa untuk berdua-duaan dengan pasangan masing-masing.

Menurut Pengurus Besar SSL Healthcare Malaysia Sdn. Bhd., Voong King Yee, pihaknya sedar hubungan seks memainkan peranan penting dalam kesejahteraan fizikal dan emosi.

“Kami percaya semua orang patut menikmati kehidupan seks yang sihat dan memuaskan. Lantaran itu Durex menjalan kajian bagi mendalami kefahaman maksud kesejahteraan seksual menerusi kaji selidik bagi tujuan mengumpul data tulen dan fakta-fakta yang boleh membantu pelanggan merasa yakin dengan sebarang keputusan.

“Pada prinsipnya, tinjauan kaji selidik ini mencerminkan peralihan peranan jenama, daripada hanya memperjuangkan hubungan seks yang selamat kepada membantu pelanggan kami menikmati hubungan seks yang lebih baik,'' katanya.

Ujarnya lagi, masyarakat hari ini semakin sensitif dan sedar dengan isu-isu yang menghalang mereka daripada mendapat kepuasan seks.

“Hasil kajian juga mendapati, kesakitan ketika melakukan hubungan seks dan beberapa masalah lain turut menjejaskan tahap kepuasan.

Lebih tiga daripada 10 atau 32 peratus responden Malaysia mengakui mengalami hubungan seks yang menyakitkan pada suatu peringkat dalam hidup mereka.

Sejumlah 43 peratus daripada wanita mengalami kekeringan vagina, masalah yang bukan sahaja dialami oleh mereka yang baru bergelar ibu atau wanita lebih tua, tetapi turut dialami oleh wanita muda.

Masalah ini turut dialami oleh responden wanita global yang mencatat 44 peratus. Di kalangan kaum lelaki pula sebanyak 22 peratus mengalami kesukaran mendapatkan ereksi (ketegangan) manakala 34 peratus mengalami masalah untuk mengekalkannya manakala responden lelaki global pula mencatatkan 42 peratus.

Pendapat Pakar

“Jangan pandang remeh atau sebelah mata masalah seksual kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga malah boleh mengakibatkan berlaku perceraian, suami main kayu tiga atau berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri pertama di sempadan,’’ tegas Dr. Mohd. Ismail b. Mohd. Tambi, Pakar Perunding Andrologi Klinikal, Reproduktif dan Kesihatan Seksual, Damai Service Hospital, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ketika ditemui baru-baru ini.

Sambungnya lagi, lazim masyarakat Asia tidak membincangkan isu masalah hubungan kelamin secara terbuka menyebabkan mereka yang mengalaminya derita dalam diam.

“Baik lelaki mahupun perempuan, perlu menyedari keintiman dengan pasangan adalah tuntutan dalam kehidupan dan perlu dicari penyelesaian dan bukannya menjadi punca keretakan hubungan,’’ katanya.

Melakukan hubungan seks dengan pasangan menurut Dr. Ismail merupakan fitrah manusia untuk mendapatkan zuriat.

“Sebagai manusia, kita dilahirkan dengan fitrah tersebut dan sampai satu peringkat iaitu selepas akil baligh, manusia akan mendapat ‘seruan’ atau berkehendak.

“Berbeza dengan golongan haiwan yang juga dikurniakan ‘seruan’ tersebut, manusia berdarjat tinggi dan memiliki sistem yang lebih terkawal di minda.

“Manusia mempunyai tamadun dan wujudlah perkahwinan untuk menghalalkan hubungan,’’ ujarnya.

Ditanya mengenai makna klimak atau kepuasan sepenuhnya, katanya ia bersifat subjektif.

“Pengalaman tersebut tidak sama antara manusia kerana tidak ada sistem untuk mengukur, sebaliknya ia berasaskan pengalaman dan kefahaman individu.

“Misalnya apabila individu yang sebelumnya telah mengecap klimak ketika berhubungan tetapi tiba-tiba alat reproduktifnya gagal berfungsi, atau pasangannya bermasalah keadaan tersebut mungkin memberinya tekanan,’’ katanya.

Sambungnya lagi, tidak mustahil apabila seseorang yang pernah mengecap keseronokan dan kepuasan dalam seks tetapi tidak memperolehnya akan kelihatan murung, tertekan dan resah gelisah dan mempengaruhi produktiviti diri.

“Ini adalah naluri semulajadi manusia yang dilahirkan dengan nafsu dan memerlukan pasangan untuk melampiaskan tetapi kita mempunyai kawalan tertentu,’’ ujarnya.

Beliau yang juga merupakan penyelidikan tempatan yang terlibat dalam Laporan Kaji Selidik Durex berkata, bersandarkan kajian terdapat masalah berbeza dalam mencapai kepuasan.

“Didapati di kalangan orang muda, kurang berasmara (romance, usia pertengahan pula berada dalam tekanan atau kurang kosentrasi manakala di kalangan yang berusia lebih gagal ereksi atau mengekalkannya,’’ jelasnya.

Menyentuh mengenai pasangan yang berhadapan dengan masalah hubungan, beliau menyarankan kedua-duanya berbincang dengan terbuka.

Pendapat Mufti

Suami yang gagal untuk memenuhi keperluan seksual pasangannya atau menunaikan tanggungjawab, si isteri boleh menuntut perkahwinan mereka dipisahkan (tasriq) melalui kuasa kadhi walaupun suami enggan menceraikan, tetapi isteri berhak.

Demikian, tegas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainol Abidin ketika dihubungi.

Katanya hubungan seksual merupakan naluri yang secara fitrah Allah swt ciptakan kepada manusia sebagaimana makan dan juga minum.

‘Walaupun hubungan seks tidak kritikal seperti makan dan minum namun ia sebahagian keperluan manusia.

“Lantaran itu ahli sarjana feqah Islam membenarkan golongan miskin dan tidak mampu berhak mendapat zakat untuk berkahwin kerana ia satu keperluan kepada manusia,’’ ujarnya

Ujarnya pasangan perlu berbincang secara terbuka mengenai masalah hubungan seks kerana ia adalah hak.

Adalah menjadi kesalahan di dalam Islam sekiranya hubungan seksual yang dilakukan tidak dinikmati oleh isteri atau pun sebaliknya.

Beliau juga menekankan telah berlaku penganiayaan jika suami bermasalah dan enggan berubah mendapatkan rawatan tetapi menyuruh isterinya mendiamkan diri.

“Penganiayaan berlaku tetapi salah isteri juga kerana mendiamkan diri dan dia tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak tetapi apabila adanya aduan, mahkamah boleh menghentikan perkahwinan tersebut,’’ ujarnya.

Ditanya apakah jalan penyelesaian jika suami enggan mendapatkan rawatan bagi memulihkan hubungan beliau berkata perbincangan adalah jalan paling selamat.

“Jika suami enggan berbincang, bawa perkara tersebut kepada pengetahuan keluarga suami dengan melantik ‘haqam’ untuk meredakan ketegangan tetapi biarlah kesannya positif dan suami boleh berubah,’’ ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pasangan suami isteri yang menghadapi masalah agar mendapatkan rawatan kerana hubungan seksual adalah keperluan malah Allah swt berfirman yang antara lain bermaksud, jika tidak wujud keghairahan seksual maka tidak adalah kesinambungan zuriat umat Islam.

“Hubungan tersebut adalah tuntutan dan kehendak diri masing-masing, justeru dinasihatkan wajib bagi suami yang sakit mengubati dirinya.

“Jika gagal merawat dirinya, sedangkan si isteri memerlukan suami wajib menceraikan, jika tidak dia telah melakukan kezaliman.

“Keperluan hubungan seks ini adalah kewajipan dan jika gagal ditangani dengan cara baik, isteri berhak untuk mengangkat kes ini untuk membubarkan perkahwinan.

“Pihak kadhi pula hendaklah peka dan mempermudahkan masalah tersebut agar tidak berlaku penganiayaan,’’ katanya.

Kes 1
Tahun ini genap 14 tahun Sarina Yahya (bukan nama sebenar) berkahwin dan sepanjang tempoh tersebut beliau telah melahirkan tujuh anak hasil perkahwinan dengan suami tercinta.

Berwajah cantik dan memiliki air muka yang tenang, sukar menelah perasaan Sarina Ketika duduk-duduk berbual dengannya baru-baru ini entah macamana tiba-tiba Sarina menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan-lahan, terdengar keluhan di hujungnya apabila ditanya tentang suami.

"Aku malu nak cerita, ini hal dalam bilik tidur tapi sudah lama sangat aku pendam dan tidak pernah pun aku ceritakan kepada sesiapa,'' katanya membuka bicara.

Sarina membuang pandangan jauh ke hadapan dan berkata, “sepanjang aku berkahwin dan bersama suami, aku tak pernah rasa klimak, itu normal ke”? tanyanya tersenyum sumbing.

Sarina menyambung lagi dan kali ini bunyinya agak sayu. "Selalu suami aku pentingkan dirinya dulu, bila sudah puas dia tidak peduli aku lagi atau bertanya sama ada aku sudah klimak atau belum. Aku malu nak minta atau berbincang dengannya sebab sudah terlalu lama kami berkahwin. Bimbang pula aku kalau-kalau aku dituduhnya “gatal” atau ada seseorang yang mengajar aku meminta-minta,” ujarnya’

Akui Sarina, ketika bar-baru berkahwin usianya baru menginjak 19 tahun dan pada pandangannya dia memang tidak pandai berasmara tetapi apabila sudah banyak membaca, Sarina perasan dirinya tidak puas ketika bersama suami.

Walaupun tidak diluahkan melalui kata-kata dan perbuatan, namun sesekali hatinya mendongkol juga.

Namun setiap kali bersama dengan suami, waima sampai saat ini Sarina tetap melayan dengan baik walaupun hatinya merintih. Dia faham sikap suami yang tidak bersikap terbuka mengenai hubungan seks namun dari segi tanggungjawab terhadap keluarga, suaminya memang di tangga teratas.

Pengakhirnya kata Sarina, dia sesekali tidak akan buka mulut untuk melahirkan rasa terkilannya terhadap suami.

“Untuk menggembirakan hati, kalau boleh setiap tahun aku nak bersalin sebab ketika itulah suami akan berganda-ganda menyayangi dan menjaga aku. Agaknya itulah “klimak” yang aku dapat,” katanya tersenyum penuh makna.

Kes 2
JASMI ISMAIL (bukan nama sebenar) semakin khayal dengan dunia barunya kini, bercinta dengan Anne (samaran) pekerja wanita di pejabatnya yang baru kematian suami. Jasmi lupa pada Suraya (samaran) isterinya dan anak-anak seramai empat orang itu kerana Anne bukan sahaja berjaya menawan hatinya dengan paras rupa dan liuk lentoknya yang manja tetapi lebih daripada itu, Anne sanggup melayannya hingga ke ranjang, tuntutan batin yang semakin gagal dipenuhi oleh Suraya.

Hubungan keduanya berjaya dihidu Suraya dan berlaku pertengkaran namun Jasmi yang sedang mabuk asmara tidak mengaku dirinya bersalah dengan hubungan terlarang itu.

Sebaliknya Suraya dipersalahkan kerana gagal melayan nafsunya dan itu dijadikan alasan dia menjalin hubungan.

Suraya pula memberi alasan, kesibukan bekerja, melayan karenah anak-anak serta penyakit yang dialami antara penyebab, dia tidak ada ‘mood’ untuk melayan suami.

Sementelah pula Jasmi ego dan pentingkan diri sendiri dan enggan berbincang dengan Suraya mengenai masalah yang dihadapi.

Akhirnya di mahkamah Syariah, perkahwinan yang dibina selama 15 tahun hancur berkecai dan Suraya membawa diri bersama anak-anak.

Tip penyelesaian masalah

* Hanya kepada pasangan isu patut dibincangkan kerana merekalah yang akan memainkan peranan untuk mengubahnya.

* Bincang secara terbuka dari hati ke hati antara pasangan dan elak bincang dengan orang luar.

* Apabila keduanya sepakat mendapati ia berpunca dari masalah kesihatan seperti reproduktif gagal berfungsi, tidak ada ereksi, kekeringan vagina, tekanan atau penyakit, bertemu dengan pakar perubatan untuk menerima rawatan.

* Jika gagal merawat sedangkan pasangan berkehendak, masing-masing berhak untuk membubarkan perkahwinan.

Info kaji selidik

1.Tinjauan kaji selidik ini telah dijalankan oleh Harris Interactive dan disertai oleh negara-negara Australia, Austria, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, Greece, Hong Kong, India, Itali, Jepun, Malaysia, Mexico, Belanda, New Zealand, Nigeria, Poland, Russia, Singapura, Afrika Selatan, Sepanyol, Switzerland, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

2.Kaji Selidik Global Kesejahteraan Seksual Durex telah dijalankan secara "online" sepanjang bulan Ogos dan September 2006.

Teruskan bacaan...

Langgan artikel anda di sini

Perhal Blog

Blog ini memuatkan semua artikel yang berkaitan dengan kekeluargaan, kesihatan, motivasi, keagamaan dan permasalahan. Semua artikel di dalam blog ini merupakan artikel yang bertanggungjawab dan disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah popular di negara kita. Makluman.

Artikel Blog Terkini

  © Blogger template Ramadhan Al-Mubarak by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP